October 21, 2009

burung sakti

Posted in kasih tagged at 7:33 pm by ZK.

burung sakti itu mula terbang tinggi
setelah sayapnya yang luka terkoyakkan
umpama baldu kembali kala terubati.

sedangkan waktu itu hati mula terjatuh sayang
tapi dia si burung sakti, mana mungkin akan mengerti.

April 9, 2009

satu gelas kaca

Posted in kasih tagged at 2:08 am by ZK.

satu gelas kaca,
penuh air.
aku dulang tatang,
biar tak tumpah.

sampai ke dia,
senyum terima.
tak diteguk kenyang,
tak dibuang kurang.

aku diam keliru.
dia ambil,
simpan dalam peti beku.

mungkin
akan dia cairkan
bila haus, bila mahu.
terpulang..
asal jangan retak sendiri,
sudahlah.

satu gelas kaca,
penuh air.
elok-elok tuan,
gelas kaca itu cuma satu.
hanya satu.

March 28, 2009

keras lembut

Posted in kasih tagged at 3:09 pm by ZK.

dan setiap untaian kata itu
aku cantumkan satu persatu
menjadi kalungan harapan terlarang
buat kali yang entah berapa.

kerna degil aku keras
dan kalah aku cuma
lembut yang ternampakkan.

February 17, 2009

pudar, hilang.

Posted in kasih tagged at 6:05 pm by ZK.

jujur benar.
kasih rindu.
sendu cemburu.
tangis tawa.
irama lagu.
sentuh jiwa.
dua satu.

kian sayup pudar
setiap darinya
di balik awan tenang
yang mana aku pinta
angin kencang
larikan semua
padanya seberang.

agar dapat ku rasakan
adanya dia, tidak hilang.
dan berhenti aku menoleh,
mengutip sisa hari belakang.

December 31, 2008

jangan lepas

Posted in kasih tagged at 9:59 pm by ZK.

telah ku lumat
setiap bilah kata yang menyiat
lalu ku sisip kemas
antara luka-luka hati
menjadi rawat,

maka campakkan
rasa-rasa salah itu
menjadi polos kamu yang dulu.

dan telah ku sekat
setiap basah mata yang membirat
lalu ku titip rias
antara garis-garis wajah
menjadi tekad,

maka lepaskan
rasa-rasa resah itu
menjadi telus kamu yang dulu.

yang akan selalu aku rindu
yang akan selalu aku tunggu.

sini, rangkulkan aku
dan jangan pernah lepas.

November 16, 2008

saya suka kamu

Posted in kasih tagged at 9:58 pm by ZK.

baru sebentar ia mahu lari
pantas tertahan lalu berenti
garis yang ujung jadi penanti.

sambutkan aku dengan senyum mu,
moga lewat itu menjadi erti.

November 9, 2008

tunggu

Posted in kasih tagged at 9:23 pm by ZK.

sampai layu jadi kaku
sampai hilang wangi bau
sampai gugur satu-per-satu
sampai tanggal duri sembilu
sampai itu aku tunggu.

sampai kamu rasa perlu
sampai kamu tiupkan lagu
sampai kamu bilang rindu
sampai kamu milik restu
sampai itu aku tunggu.

September 15, 2008

rugi

Posted in kasih tagged at 10:29 pm by ZK.

keberuntungan apakah ini
kiranya gurindam itu
tidakkan mampu meledak rasa,
takat menambah ruangan rindu
semata kerna setianya aku.

khabarkan saja bahawa
akulah dia si rugi itu.

September 7, 2008

umpama aku

Posted in kasih, nurani tagged at 10:43 pm by ZK.

sekadar merpati hitam
minta dibelai kasih
tidak disangkar emas

sekadar putik semalu
mengembang ratu tenang diusik
biarpun silu

sekadar belacu lusuh
idam dirias secalit warni
harap mampu menjadi seri

bukan merpati
bukan semalu
bukan belacu
mahunya aku.

tapi seolah semua itu
seakan-akan umpama aku.

August 7, 2008

rindu

Posted in kasih, nurani tagged at 12:29 am by ZK.

bayu senja, dengarkan sini keroncong perindu,
bersulam rintih menanti pulang kasih nan satu.
sudi tiupkan dendang laguku menghembus tenang celah kalbunya,
biar serasa mendakap erat lena tiduran mimpi kan sua.

kirimkan padanya agar mengerti itu ada.

Next page